Tuesday, October 7, 2008
Puasa enam Syawal hadiah ingatan Nabi Muhammad pada umatnya
Ustaz Zainudin Hashim
Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT ke muka bumi ini.
Baginda bukan sahaja sibuk dengan tugas utamanya iaitu menyampaikan ajaran Islam daripada Allah kepada umat manusia, malah memiliki sifat-sifat terpuji atau sifat Rabbaniah (ketuhanan dalam diri).
Ini kerana baginda bukan setakat menghubungkan diri dengan Allah (Hablun Minallah) dalam segenap urusan serta tindakannya, malah tidak lupa juga menghubungkan diri dengan manusia sekeliling terutama umatnya (Hablun Minan Nas).
Setiap apa yang diungkapkan oleh baginda, sama ada berupa berita gembira atau berita yang mengancam mereka di akhirat, baginda sentiasa memikirkan agar umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT berupa pahala dan ganjaran yang membolehkan mereka layak memasuki syurga Allah.
Ganjaran setahun dengan amalan puasa enam
Begitulah halnya dengan puasa enam di bulan Syawal, baginda mahukan dari umatnya agar sentiasa peka dalam menambahkan koleksi pahala selepas puasa sebulan Ramadan, kerana bulan yang mulia ini adalah latihan untuk dibuktikan selepas ia melabuhkan tirainya.
Berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal di ketika ramai orang berseronok menjamah makanan yang lazat-lazat, memperlihatkan seseorang itu mengharapkan pahala satu tahun berpuasa, ini kerana dalam kalender Islam hanya tercatat 355 hari berbanding bulan Masehi 365.
Kalau seseorang itu melakukan 30 hari puasa Ramadan, setiap hari diganjari dengan 10 pahala, ia bermakna seseorang itu telah berpuasa 300 hari, ditambah dengan enam hari di bulan Syawal, ia akan menjadikan 360 hari bagaikan satu tahun pahala berpuasa.
Perkara ini disandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa di bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun." (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad).
Inilah yang dikatakan ingatan Nabi terhadap umatnya, begitulah juga dengan peringkat awal kefarduan solat pada malam Mi'raj ke langit, Nabi kenangkan umatnya yang tidak akan mampu untuk melaksanakan 50 waktu sembahyang hingga bermohon ke hadrat Allah agar dikurangkan hingga menjadi lima waktu sahaja. Itu pun ada di kalangan umat Islam yang tidak melakukan solat fardu lima waktu.
Izin suami penting untuk puasa enam
Walaupun dijanjikan pahala setahun dengan melaksanakan puasa enam Syawal, seorang isteri perlu mendapatkan izin suaminya terlebih dahulu, kerana puasa enam tersebut adalah sunnat, sedangkan mentaati suami yang berkeinginan adalah wajib diutamakan, melainkan suami reda dengan pelaksanaan puasa tersebut.
Apatah lagi jika seorang isteri yang tertinggal puasa Ramadan kerana uzur syar'ie, dia digalakkan untuk mengqada'nya pada bulan Syawal diniatkan untuk qada' puasa di samping ibadat puasa sunat pada masa yang sama, insya-Allah dengan cara itu dia tidak akan terlepas untuk mendapatkan pahala setahun berpuasa.
Bagaimana dengan sikap kita terhadap baginda Rasulullah?
Kalau disebutkan di atas tadi bahawa, baginda sering mengenang dan mengingatkan umatnya dalam segenap tindakannya, bagaimana pula dengan diri kita yang serba kurang dan kerdil bila berhadapan dengan Allah SWT.
Apakah setiap tindakan, perbuatan, kenyataan, perakuan yang terbit dari diri lidah kita yang tidak bertulang itu memperlihatkan kita benar-benar mengenang dan mengingati Nabi ajaran Muhammad s.a.w.
Benarkah kita mengingati Nabi ketika membuat keputusan mesyuarat tidak sedikit pun menyingung peribadi atau ajaran baginda.
Dalam banyak masalah yang dihadapi oleh umat Islam dalam negara kita hari ini termasuk masalah remaja, mereka jarang sekali menyelesaikannya dengan kaedah yang ditunjukkan oleh baginda menerusi wahyu al-Quran, masalah perzinaan sebagai contoh, bila sabit kesalahan dengan saksi-saksi yang ada, sepatutnya bagi orang yang berzina yang sudah berkahwin direjam sampai mati dan yang belum kahwin disebat, tetapi ajaran Nabi Muhammad ini ditukar kepada undang-undang denda dan penjara.
Adakah tindakan manusia hari ini membolehkan mereka mendapatkan syafaat (recommend) baginda pada hari kiamat sedang baginda sentiasa memikirkan bagaimana untuk umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT?
Tepuk dada tanda iman! - mks.
..//copied and pasted from harakahdaily
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment